Pelajar tulis surat kepada PM dakwa dibuli, guru rasis

Pelajar tulis surat kepada PM dakwa dibuli, guru rasis

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pendidikan menyiasat aduan kes buli yang diterimanya melalui sepucuk surat daripada seorang yang mendakwa dibuli di sekolah.

Menurut Anwar, beliau memohon perkara itu disiasat dalam kadar segera oleh kementerian yang kini diterajui Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

“Terima kasih anakanda. Saya akan mohon Kementerian Pendidikan yang kini dikepalai YB Menteri Pendidikan Fadhlina Siddiq untuk siasat dalam kadar segera,” katanya dalam satu ciapan di laman Twitter rasminya hari ini.

Perdana Menteri turut memuat naik gambar surat aduan pelajar terbabit yang diterimanya.

Berdasarkan surat dengan tulisan tangan yang ditulis di atas sekeping kertas itu, pengadu yang bernama Tajessh Kanakaraju mendakwa dia dibuli sekumpulan individu dan lebih malang gurunya juga didakwa bersikap rasis.

“Hari ini sekumpulan individu membuli saya dan guru pula bersikap sangat rasis. Saya menulis ini kepada anda kerana saya mahu anda menghentikan rasisme,” menurut surat berkenaan. – Malaysiapost

Komen