Penternak ikan sangkar dinasihatkan siap sedia

Penternak ikan sangkar dinasihatkan siap sedia

Ben Ibrahim

JABATAN Perikanan Pahang menasihatkan semua pengusaha ikan sangkar di sepanjang Sungai Pahang bersiap sedia susulan ketibaan Monsun Timur Laut (MTL) sejak Khamis lalu.

Pengarahnya Abdullah Jaafar, berkata dianggarkan seramai 1,262 penternak ikan sangkar berdaftar dengan jabatan itu dan mereka berdepan risiko setiap kali MTL melanda Pantai Timur.

“Peringatan dan nasihat ini dikeluarkan bagi mengelak mereka mengalami kerugian kerana apabila MTL melanda, sangkar mereka mungkin musnah, ikan diternak mati atau terlepas akibat peningkatan air sungai.

“Kalau boleh, penternak ini memeriksa keadaan ikatan tali pada sangkar diusahakan masing-masing memandangkan MTL mengakibatkan arus sungai menjadi deras daripada kebiasaan,” katanya ketika dihubungi di Kuantan, hari ini.

Abdullah berkata, terdapat lebih 13,000 unit sangkar petak ikan air tawar sepanjang Sungai Pahang dan beberapa sungai utama lain.

Katanya, sebanyak 341 unit petak sangkar ikan air payau di Kuantan dan Rompin membabitkan seramai 14 penternak.

“Kalau ada ikan ternakan sudah boleh dijual, saya nasihatkan untuk mereka jual segera selain tangguhkan dulu rancangan untuk membawa masuk benih ikan baharu ke sangkar mereka,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan pengusaha supaya lebih berhati-hati dan sentiasa menggunakan jaket keselamatan apabila ingin memeriksa keadaan sangkar mereka bagi mengelak kejadian tidak diingini. – Malaysiapost

Komen