Permohonan keahlian MN dibuka lebih awal – Annuar

Permohonan keahlian MN dibuka lebih awal – Annuar

SELEPAS dipecat daripada Umno, Tan Sri Annuar Musa kini giat menggerakkan badan bukan kerajaan (NGO) Muafakat Nasional (MN) dengan membuka pendaftaran keahlian bagi yang ingin menyertainya.

Beliau yang juga Presiden MN, berkata permohonan keahlian sepatutnya bermula minggu hadapan, namun atas permintaan ramai ia diawalkan melalui permohonan secara atas talian.

Annuar yang juga bekas Ketua Umno Bahagian Ketereh dan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), berkata MN yang ditubuhkan adalah berperanan sebagai platform untuk melaksanakan program dan aktiviti ke arah memupuk nilai muafakat.

Menurutnya, ia bagi mewujudkan keterangkuman tanpa bersifat perkauman, mempromosikan perpaduan ummah dan menjunjung keutuhan sistem politik negara yang lebih baik, berpaksikan Rukun Negara dan Perlembagaan Malaysia.

“Permohonan keahlian MN dibuka lebih awal.

“Sepatutnya minggu hadapan. Namun atas permohonan ramai kita awalkan permohonan secara online,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau turut berkongsi pautan laman web MN bagi mereka yang ingin mendaftar sebagai ahli.

Berdasarkan Minda Presiden melalui laman web berkenaan, Annuar berkata, MN berpegang kepada lima matlamat yang telah digariskan.

“Pertama, menjunjung dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin pembentukan Negara, Islam sebagai Agama Persekutuan, Kedaulatan Raja-Raja Melayu, Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta menjamin kepentingan masyarakat majmuk terpelihara.

“Kedua, memperkukuhkan MN melalui amalan musyawarah yang melibatkan pelbagai latar agama, kaum dan budaya demi kepentingan negara,” katanya.

Menurutnya, matlamat ketiga adalah memperkasakan agenda Islam, Melayu dan Bumiputera secara tuntas dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan demi membangunkan watan yang sejahtera.

“Keempat, membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif (Islam dan bangsa Melayu) tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara.

“Kelima, mengikhtiarkan secara kolektif satu citra dan tawaran baru untuk negara dalam meningkatkan tadbir urus yang baik, dasar pembangunan yang inklusif dan sejahtera serta pengagihan yang menyuburkan keadilan sosial merentasi batas warna kulit dan anutan,” katanya.

Beliau berkata, antara inisiatif yang bakal dilaksanakan oleh MN adalah dalam kerangka nilai-nilai kesederhanaan serta keterbukaan yang tinggi adalah sesi Sidang Meja Bulat yang menghimpunkan nama-nama serta tokoh-tokoh masyarakat yang terlibat dalam pelbagai bidang serta kepakaran yang diadakan dalam beberapa siri.

“Jelajah Muafakat Nasional – seminar tertutup di setiap negeri bagi membawa semangat muafakat dan mempromosikan keahlian MN.

“Dan Konvensyen MN bertaraf nasional,” katanya.

Terdahulu media melaporkan Annuar antara tiga pemimpin Umno yang dipecat keahliannya pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Khamis lalu.

Dua lagi yang dipecat adalah Ketua Wanita Umno Bahagian Arau, Datuk Seri Shamsiah Yasin, yang juga isteri bekas Ketua Umno Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim serta Ketua Wanita Umno Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim. – Malaysiapost

Komen