Politik Sabah: Beza Umno dengan Bersatu

Politik Sabah: Beza Umno dengan Bersatu

UMNO Sabah mampu bangkit semula selepas kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kerana parti itu sudah berakar umbi di negeri berkenaan, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Menurutnya, apabila Umno hilang kuasa selepas PRU-14, sebanyak 21 Ketua Bahagian Umno Sabah bertindak ‘melompat’ masuk Bersatu.

Beliau berkata, ketika itu yang tinggal hanya tiga orang iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin yang kini Pengerusi Perhubungan Umno Sabah; Ketua Umno Bahagian Sepanggar, Datuk Yakub Khan yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah; dan Ketua Bahagian Umno Tenom, Datuk Raimie Unggi yang kini adalah Ketua Penerangan Umno negeri.

“21 Bahagian itu dipangku oleh mereka yang baru termasuk dua wanita. Apakah Umno Sabah mati? Umno Sabah bangkit semula dan menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Itu maknanya Umno Sabah berakar umbi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Mohd Puad berkata kini selepas PRU-15, giliran Bersatu pula menghadapi nasib sama namun beliau percaya parti tu tidak akan dapat bangkit semula di Sabah seperti yang berjaya dilakukan Umno Sabah.

“Semua keluar Bersatu dan akan tubuh parti baru. Akan ada lagikah Bersatu di Sabah?

“Bersatu tidak ada akar umbi. Akar umbi parti itu berasal dari akar umbi Umno yang lompat parti. Tanpa kuasa di kerajaan negeri, Bersatu bolehlah tutup kedai di Sabah,” katanya.

Terdahulu, kepimpinan Bersatu Sabah termasuk semua wakil rakyatnya, mengumumkan keluar daripada parti itu semalam.

Dalam satu kenyataan, Ketua Menteri yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor, berkata keputusan itu dibuat selepas menimbangkan landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di Sabah.

Beliau berkata, kerajaan negeri yang ditunjangi Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) juga mengambil kira nasihat Yang di-Pertuan Agong mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan Persekutuan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, keputusan sebulat suara itu adalah demi kepentingan Sabah, demi perpaduan dan memenuhi hasrat serta aspirasi rakyat untuk kita terus berjuang di bawah naungan sebuah parti tempatan.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS, berkata berikutan tindakan itu, mereka akan menubuhkan sebuah parti tempatan yang baharu sebagai platform menggantikan Bersatu.

Bagaimanapun, katanya untuk sementara waktu ini, mereka secara kolektif akan menjadi ahli GRS. – Malaysiapost

Komen