Sah PN lantik Hamzah Ketua Pembangkang

Sah PN lantik Hamzah Ketua Pembangkang

PERIKATAN Nasional (PN) mengesahkan melantik Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat manakala, Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dilantik menjadi Ketua Ahli-Ahli Parlimen PN.

Hamzah yang juga Setiausaha Agung PN menerusi kenyataan berkata, selaras dengan fungsi dan peranan sebagai satu-satunya parti pembangkang di Parlimen Dewan Rakyat ke-15, Majlis Tertinggi Perikatan Nasional telah bersetuju sebulat suara dengan pelantikan berkenaan.

PN bersetuju melantik Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai Ketua Whip Pembangkang dibantu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sebagai timbalan.

Manakala Presiden PAS pula dinamakan Timbalan Ketua Ahli-Ahli Parlimen PN.

“Parti Perikatan Nasional percaya bahawa pelantikan ini dapat memperkukuh dan memperkasa peranan Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional sebagai pihak pembangkang yang berwibawa dalam membawa suara serta kepentingan rakyat di Dewan Rakyat kali ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini. -Malaysiapost

Komen