“Kes Hakim Nazlan tidak boleh senyap begitu sahaja” – Mohd Puad

“Kes Hakim Nazlan tidak boleh senyap begitu sahaja” – Mohd Puad

KERAJAAN Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diingatkan agar tidak lupa dengan kes membabitkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi turut mengesa kerajaan untuk menyelesaikan kes berkenaan susulan siasatan terhadapnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah lama selesai.

Menurutnya, kenyataan SPRM sebelum ini juga menyatakan hanya menunggu arahan lanjut daripada Peguam Negara bagi kes berkenaan.

“Apatah lagi kertas siasatan Hakim Nazlan juga bocor. Tidak ada pihak yang tampil menafikan kesahihannya. Tidak seperti biasa.

“Apabila mendiamkan diri, tiada ‘follow up’, tiada penafian apatah lagi tiada pendakwaan itulah sebenarnya campur tangan Mahkamah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Mohd Puad berkata, tiada tindakan susulan terhadap kes terbabit menunjukkan terdapat sesuatu yang cuba disembunyikan.

“Ada benda yang mahu disorokkan. Itu sebab kes Najib (bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) dan Zahid Hamidi (Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dianggap sebagai pendakwaan terpilih.

“Semoga kerajaan baru segerakan pendakwaan Hakim Nazlan,” katanya.

Pada Mei lalu, SPRM mengesahkan kertas siasatan mengenai kes membabitkan Mohd Nazlan sudah diserahkan kepada pihak Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

SPRM melalui kenyataan berkata, kertas siasatan itu diserahkan pada 18 Mei lalu selepas pihaknya melengkapkan siasatan mengenai dakwaan sumber kekayaan yang tidak dijelaskan membabitkan Mohd Nazlan.

Mohd Nazlan ketika menjadi Hakim Mahkamah Tinggi, mensabitkan Najib dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, pada 28 Julai 2020 serta menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. – Malaysiapost

Komen