Lebih 10,000 mohon sertai MN

Lebih 10,000 mohon sertai MN

HANYA dalam tempoh beberapa jam selepas keahlian badan bukan kerajaan (NGO) Muafakat Nasional (MN) dibuka, lebih 10,000 permohonan telah diterima.

Presidennya Tan Sri Annuar Musa, berkata melihat sambutan hangat itu beliau kini mempunyai semangat dan kekuatan baru untuk terus berjuang selepas dipecat daripada Umno, Khamis lalu.

“Subhanallah..baru beberapa jam keahlian MN dibuka, sudah lebih 10,000 permohonan keahlian diterima.

“Saya amat terharu betapa ramainya diluar sana anak bangsa yang prihatin terhadap agama,bangsa,dan negara serta cintakan muafakat.

“Tiba-tiba saya merasa suatu kekuatan baru untuk terus berjuang bersama mereka yang jujur dan ikhlas. Semoga Allah SWT memudahkan segala urusan kita seterusnya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini

Semalam, Annuar yang juga bekas Ketua Umno Bahagian Ketereh memaklumkan permohonan menyertai NGO itu mula dibuka kepada orang ramai secara atas talian menerusi laman muafakatnasional.org.my.

Menurutnya, MN bertujuan bagi mewujudkan keterangkuman tanpa bersifat perkauman, mempromosikan perpaduan ummah dan menjunjung keutuhan sistem politik negara yang lebih baik, berpaksikan Rukun Negara dan Perlembagaan Malaysia.

Terdahulu media melaporkan Annuar antara tiga pemimpin Umno yang dipecat keahliannya pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Khamis lalu.

Dua lagi yang dipecat adalah Ketua Wanita Umno Bahagian Arau, Datuk Seri Shamsiah Yasin, yang juga isteri bekas Ketua Umno Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim serta Ketua Wanita Umno Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim. – Malaysiapost

Komen