Parti Kerajaan Perpaduan berunding persiapan hadapi PRN

Parti Kerajaan Perpaduan berunding persiapan hadapi PRN

PAKATAN Harapan (PH) akan mengadakan rundingan dengan parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri yang belum membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang berkata, satu perbincangan bakal diadakan dengan semua parti terlibat bagi membincangkan secara khusus persiapan menghadapi PRN di Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Bagaimanapun Saifuddin tidak mendedahkan sebarang butiran lanjut, namun beliau berkata, perbincangan perlu segera diadakan selewat-lewatnya awal tahun depan.

“Bagi menghadapi PRN nanti PH akan membuat persiapan awal dengan melaksanakan program jelajah ke enam buah negeri awal tahun depan bagi menghadapi pilihan raya di enam buah negeri ini.

“Program ini akan bermula cepat kerana usaha kita untuk menang dalam membentuk kerajaan negeri seperti mana Kerajaan Perpaduan yang berjaya dibentuk.

“Paling penting kita cuba untuk mendekati pengundi bagi meyakinkan mereka untuk memilih Kerajaan Perpaduan yang berjaya dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya dipetik Utusan Online, hari ini.

Saifuddin yang merupakan Menteri Dalam Negeri menjelaskan, perbincangan dengan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli baru-baru ini telah memutuskan untuk memberi tumpuan utama menghadapi PRN, tanpa mengabaikan tugas-tugas di kementerian.

“Kami ada tugas hakiki iaitu menjadi sebahagian daripada pentadbiran Jemaah Menteri tetapi tugas penting juga mengadakan persiapan PKR dan PH untuk mendepani PRN yang tempohnya kita tahu, tidak sampai enam bulan.

“Ini tugas yang maha mustahak yang menjadi sebahagian daripada tanggungjawab kami, sebab dalam perjumpaan dengan akar umbi parti malam ini, saya sebut tentang fokus itu,” katanya. – Malaysiapost

Komen