Pejabat pasport JIM KL, Putrajaya sesak luar biasa hari ini

Pejabat pasport JIM KL, Putrajaya sesak luar biasa hari ini

PEJABAT permohonan pasport di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya, dikesan mengalami kehadiran luar biasa orang ramai, hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata pihaknya mengambil maklum mengenai keadaan itu yang disebabkan oleh penutupan pejabat-pejabat pasport di Selangor kerana cuti umum dan cuti persekolahan bermula hari ini.

“Sehubungan dengan itu, Jabatan ini menasihatkan supaya orang ramai berurusan ke pejabat-pejabat pasport di luar Lembah Klang dan kurang sesak bagi urusan permohonan pasport.

“Antara pejabat pasport berdekatan dan kurang kesesakan yang boleh menjadi alternatif adalah pejabat pasport di Seremban, Melaka, Cameron Highlands, Raub, Kuala Langat, Kuala Kubu Bharu, Pengkalan Hulu, Mersing, Kukup dan Kangar.

“Selain itu, bagi mereka yang tidak mempunyai keperluan mendesak atau kecemasan, dipohon supaya menangguhkan dahulu urusan permohonan pasport dan memohon di luar waktu puncak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil sikap menunggu hingga ke saat akhir dan perlu merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan.

“Selain daripada itu, orang ramai juga dijemput untuk menyertai saluran telegram rasmi bagi urusan permohonan pasport untuk sebarang pertanyaan di pautan https://t.me/PejabatPasport,” katanya.

JIM melalui aplikasi TikTok rasminya hari ini memuat naik video berdurasi 51 saat memaparkan keadaan kesesakan luar biasa di pejabat permohonan pasport di Putrajaya. – Malaysiapost

Komen