Pemergian Hong Piow ‘lompong besar’ kepada negara – Anwar

Pemergian Hong Piow ‘lompong besar’ kepada negara – Anwar

DATUK Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemergian Pengasas dan Pengerusi Emeritus Public Bank, Tan Sri Dr. Teh Hong Piow sebagai lompong besar kepada keluarga besar Public Bank.

Malah Perdana Menteri menyifatkan kematian mendiang sebagai kehilangan besar kepada sektor perbankan dan negara.

Beliau berkata, mendiang adalah pengasas Public Bank yang menubuhkan bank tersebut pada 1965.

“Saya mengutuskan salam takziah buat keluarga mendiang Pengerusi Emeritus Public Bank di atas pemergiannya pagi tadi.

“Pemergiannya ini tentunya meninggalkan lompong besar kepada keluarga besar Public Bank, sektor perbankan dan juga negara. Saya doakan keluarga mendiang tabah dan kuat atas kehilangannya,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Public Bank menerusi kenyataan hari ini memaklumkan Hong Piow meninggal dunia pada pukul 10.20 pagi tadi ketika berusia 92 tahun.

“Pemergian Hong Piow adalah satu kehilangan besar kepada Kumpulan Public Bank. Bagi pihak lembaga pengarah, pengurusan dan kakitangan Kumpulan Public Bank, kami menyampaikan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga Hong Piow,” kata kenyataan itu.

Baru-baru ini, Forbes 2022 melaporkan Hong Piow merupakan individu keempat terkaya di Malaysia dengan nilai kekayaan AS$5.7 bilion (RM25 bilion). – Malaysiapost

Komen