Penggunaan kamera badan tingkat imej KKM – Dr Zaliha

Penggunaan kamera badan tingkat imej KKM – Dr Zaliha

PENGGUNAAN kamera badan oleh pegawai penguatkuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilihat bukan sahaja dapat memastikan ketelusan pelaksanaan penguatkuasaan, malah dapat menjaga kebajikan dan keselamatan pegawai berkenaan.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, berkata penggunaan teknologi berkenaan mampu memelihara integriti dan meningkatkan imej kementerian.

“Saya ingin mengucapkan syabas kepada KKM khususnya Program Kesihatan Awam dan Program Farmasi atas inisiatif penggunaan teknologi ‘body camera’ dalam pelaksanaan tugas penguatkuasaan.

“Penggunaan kamera badan ini bukan sahaja dapat memastikan ketelusan dalam pelaksanaan penguatkuasaan, malah dapat menjaga kebajikan dan keselamatan pegawai penguat kuasa semasa melaksanakan tugas mereka.

“Pemakaian kamera badan oleh pegawai penguatkuasa juga dapat memelihara integriti dan meningkatkan imej KKM,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan KKM yang pertamanya, di Putrajaya hari ini.

Dr Zaliha kemudian turut memakaikan kamera badan kepada penguatkuasa pada program berkenaan sebagai simbolik inisiatif yang diambil kementerian itu.

Kamera badan digunakan pegawai penguatkuasa KKM ketika operasi penguatkuasaan bagi mengatasi isu ancaman dan halangan terhadap anggota penguatkuasa oleh penjual, pemilik premis atau orang awam.

Antara ancaman yang pernah dialami termasuk ugutan bunuh, cubaan memukul dengan batang besi, ancaman lisan dengan kata-kata kesat serta cubaan memberi rasuah.

Pelaksanaan itu bakal memberi pembuktian atau bukti balas sewajarnya kepada pegawai penguatkuasa yang berisiko ditohmah dan difitnah dengan pelbagai tuduhan ketika menjalankan operasi penguatkuasaan.

Penggunaan teknologi itu seterusnya memastikan imej dan profesionalisme pegawai penguatkuasaan KKM dipelihara di mata orang awam. – Malaysiapost

Komen