Penjawat awam Melaka terima RM700, setengah bulan gaji

Penjawat awam Melaka terima RM700, setengah bulan gaji

KERAJAAN Melaka memperuntukkan RM10 juta untuk memberi bantuan khas kepada 5,000 kakitangan awam negeri itu.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, bantuan khas itu akan diberikan secara berperingkat bermula bulan ini sehingga April 2023.

Katanya, bayaran pertama sebanyak RM700 akan disalurkan bulan ini.

“Sebagai menghargai peranan 5,000 penjawat awam negeri yang banyak membantu menaikkan imej Melaka, kerajaaan negeri akan mengagihkan bantuan kewangan dengan implikasi hampir RM10 juta.

“Bayaran bantuan pertama adalah sebanyak RM700 yang akan diagihkan pada bulan ini dan keduanya, mereka akan menerima bayaran setengah bulan gaji yang mana dibuat sebanyak dua kali iaitu pada Februari dan April tahun depan,” katanya pada sidang media selepas pembentangan Bajet Melaka 2023 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.

Sulaiman berkata, bantuan khas itu diharap dapat membantu meringankan beban penjawat awam membuat persiapan sesi persekolahan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Dalam pada itu, Sulaiman turut mengumumkan gantian cuti rehat bagi penjawat awam bertaraf tetap berumur 45 tahun ke atas.

“Gantian cuti rehat, bagi penjawat awam bertaraf tetap berumur 45 tahun ke atas ini akan melibatkan implikasi kewangan bernilai hampir RM2 juta,” katanya. –Malaysiapost

Komen