Rafizi tak guna khidmat ‘rider’ di luar tugas rasmi

Rafizi tak guna khidmat ‘rider’ di luar tugas rasmi

MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli menegaskan beliau tidak menggunakan khidmat ‘rider’ atau polis pengiring di luar tugasan rasminya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, memaklumkan mempunyai seorang pengiring namun hanya untuk urusan rasmi sebagai menteri sahaja.

“Saya tak pakai rider. Pengiring hanya seorang dan hanya untuk urusan rasmi sebagai menteri. Di luar tugasan rasmi sama macam dulu – saya pergi sorang.

“Insya-Allah takkan ada program kementerian yang diguna untuk berkempen dapat undi,” katanya dalam satu ciapan di Twitter, hari ini.

Beliau menegaskan, sebaliknya prestasi seseorang itu sebagai menteri yang akan menentukan mendapat undi atau tidak.

Rafizi berkata demikian sebagai membalas ciapan seorang pengguna Twitter yang bertanya sama menteri Kerajaan Perpaduan kini menggunakan khidmat polis pengiring atau ‘rider’.

Pengguna Twitter yang menggunakan nama AKML ABU mempersoalkan perkara berkenaan kerana menurutnya, ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15 ), Rafizi menegaskan kerajaan perlu menghentikan perkhidmatan ‘rider’ untuk menteri kecuali Perdana Menteri.

Sementara itu beliau turut membalas komen seorang lagi pengguna Twitter BangJuan yang bertanyakan sama ada menteri perlu membuat permohonan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) setiap kali ingin menggunakan khidmat polis pengiring.

“Saya pun tak tahu. Setakat ni menteri memang tiada rider,” jawabnya.

Terdahulu, Rafizi semalam dilaporkan berkata akan menjawab isu-isu politik di luar waktu bekerja mulai minggu depan, kerana menurutnya menteri dibayar gaji oleh rakyat dan perlu memberi tumpuan membaiki kehidupan rakyat. – Malaysiapost

Komen