Speaker Dewan Rakyat tentukan nasib 4 Ahli Parlimen Sabah keluar Bersatu

Speaker Dewan Rakyat tentukan nasib 4 Ahli Parlimen Sabah keluar Bersatu

KEDUDUKAN empat Ahli Parlimen Sabah yang mengumumkan keluar Bersatu akan ditentukan oleh Speaker Dewan Rakyat hanya selepas menerima notis mengenai tindakan lompat parti yang dilakukan mereka.

Penyandang Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, berkata mengikut Perlembagaan Persekutuan, adalah menjadi tugas Speaker untuk menentukan kekosongan selepas diberikan notis.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada Ahli Parlimen berkenaan iaitu Datuk Azmizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang) perlu mengosongkan kerusi masing-masing.

“Saya tidak boleh prasangka (prejudge) perkara itu,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Sabtu lalu, pemimpin Bersatu Sabah termasuk semua wakil rakyatnya mengumumkan keluar daripada parti itu.

Dalam satu kenyataan, Ketua Menteri yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata keputusan itu dibuat selepas menimbangkan landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di Sabah.

Mengikut undang-undang anti lompat parti yang dibuat melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan, Ahli Parlimen akan kehilangan kerusi jika mereka melompat ke parti lain. – Malaysiapost

Komen