Undi percaya: Anwar seorang yang berani – Azalina

Undi percaya: Anwar seorang yang berani – Azalina

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhak untuk membentangkan usul undi percaya terhadap kepimpinannya di Dewan Rakyat pada 19 Disember ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Perdana Menteri seorang yang berani kerana kebanyakan Perdana Menteri di dunia tidak gemar melakukan usul undi percaya dilakukan terhadap mereka.

“Pandangan peribadi saya sangat mudah, di bawah Sistem Westminster, semua orang boleh mengusulkan undi percaya.

“Bagi Perdana Menteri, yang telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan (sokongan daripada) sebuah gabungan besar, untuk bentangkan usul percaya, maka dia seorang yang berani, kerana dia mahu Ahli Parlimen menunjukkan sokongan mereka kepadanya.

“Ini adalah prerogatif dia sebagai ketua dewan (Parlimen),” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Azalina berkata, Ahli Parlimen perlu menyokong Anwar kerana Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Pada 24 November lalu, Anwar berkata agenda utama sidang Parlimen pertama pada 19 Disember ini adalah untuk membentangkan undi percaya terhadap kepimpinannya.

Pengumuman Anwar dibuat susulan kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencabar sekali gus menimbulkan keraguan terhadap keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri ke-10. -Malaysiapost

Komen