Agong adakan lawatan khas ke Qatar

Agong adakan lawatan khas ke Qatar

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Bilah Shah berkenan berangkat ke Doha, Qatar bagi mengadakan lawatan khas selama enam hari, bermula hari ini.

Lawatan khas itu adalah atas persilaan peribadi Emir Qatar, Yang Mulia Sheikh Tamim Hamad Al Thani sempena temasya Piala Dunia 2022 Qatar.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata selain persilaan menyaksikan perlawanan-perlawanan separuh akhir dan perlawanan akhir, Seri Paduka Baginda turut dijadual melakukan kunjungan hormat dan pertemuan dengan Sheikh Tamim.

“Seri Paduka Baginda turut dijadualkan menerima mengadap beberapa pemimpin kerajaan Qatar dan berangkat menghadiri majlis santapan bersama rakyat Malaysia di Qatar dalam rangka lawatan khas ini.

“Seri Paduka Baginda dijadualkan berangkat tiba di tanah air pada 19 Disember ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, persilaan peribadi Sheikh Tamim telah dipersembahkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani, semasa sesi menghadap di Istana Negara pada 12 Ogos lalu.

“Seri Paduka Baginda adalah Anggota Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dari tahun 2015 hingga 2019.

“Susulan daripada pemilihan Seri Paduka Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada awal tahun 2019, Baginda telah berkenan melepaskan jawatan tersebut selaras dengan Perkara 34(2), 32(3) dan 32(4) Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – Malaysiapost

Komen