‘Allah memihak kepada saya’ – Ahmad Zahid

‘Allah memihak kepada saya’ – Ahmad Zahid

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan lebih awal adalah tepat kerana tidak berlaku banjir seperti yang dijangka.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, sebelum ini beliau menjadi mangsa tohmahan kononnya mendesak supaya PRU15 diadakan ketika musim tengkujuh, namun ketentuan Tuhan adalah sebaliknya.

“Ada pihak menjangkakan pilihan raya diadakan ketika musim banjir tetapi banjir tidak berlaku, tapi yang kena tohmahan adalah saya.

“Tapi alhamdulillah, Allah SWT memihak kepada saya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JBPB) di Putrajaya petang tadi.

Sebelum ini, Pakatan Harapan (PH), PAS dan Perikatan Nasional (PN) membantah PRU15 diadakan hujung tahun kerana bimbang banjir besar akan berlaku.

PRU15 diadakan pada 19 November selepas Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memohon pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan taburan hujan tinggi bermula Sabtu ini yang mungkin akan menyebabkan banjir.

Beliau memberi jaminan akan bertindak adil pada semua negeri dalam menyalurkan bantuan banjir meskipun ia tidak sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, kerajaan sudah mengarahkan agensi Persekutuan yang terbabit untuk menyantuni semua kerajaan negeri, termasuk ditadbir pembangkang.

“Saya telah mengarahkan bahawa agensi pusat perlu melayani sama raya kerajaan negeri yang belum bersama Kerajaan Persekutuan.

“Keadilan dan kesaksamaan perlu dilakukan tanpa memikirkan negeri itu diperintah oleh pihak mana, ini adalah bagi menyelesaikan masalah rakyat, bukan menyelesaikan masalah poltik,” katanya.- Malaysiapost

Komen