Amaran ribut petir, hujan lebat di tiga negeri

Amaran ribut petir, hujan lebat di tiga negeri

JABATAN Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda Terengganu, Pahang dan Johor sehingga jam 2 petang ini.

Kawasan-kawasan yang terlibat ialah Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman di Terengganu; Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin dan di Johor pula di Segamat dan Mersing.

Menurut METMalaysia, amaran tersebut dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Sementara itu, METMalaysia turut memaklumkan angin kencang timur laut berkelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka di kawasan perairan Pahang, Terengganu, Kelantan sehingga Khamis ini.

Menurutnya, keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Selain itu, perairan-perairan Pantai Timur juga diberi amaran kenaikan paras air laut dan berisiko kepada limpahan air laut di pesisir pantai.

Angin kencang timur laut melebihi 60 kmsj dengan ombak setinggi melebihi 4.5 meter dijangka di kawasan perairan timur Condore, barat laut Reef North sehingga Khamis, 15 Disember 2022.

Menurut METMalaysia, keadaan angin kencang dan laut bergelora itu adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.

Tambahnya, angin kencang timur laut berkelajuan 50-60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter di situ.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora juga berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Selain itu, angin kencang timur laut berkelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka di kawasan perairan selatan Samui, Tioman, utara Bunguran, tenggara Reef North, utara Reef South, Layang-Layang, barat Palawan sehingga Khamis, 15 Disember 2022.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut. – Malaysiapost

Komen