APM ada kuasa arah penduduk berpindah

APM ada kuasa arah penduduk berpindah

Ben Ibrahim

ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM) mempunyai kuasa mewajibkan penduduk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) jika diarahkan berbuat demikian.

Bidang kuasa itu merujuk kepada pindaan Akta Pertahanan Awam 1952 iaitu Akta 221 di bawah Seksyen 4C.

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.

“Sekiranya jawatankuasa pengurusan bencana peringkat daerah memutuskan penduduk perlu keluar dari rumah, berpindah ke PPS, kita mengharapkan supaya masyarakat memberikan kerjasama.

“Ini kerana arahan tersebut dibuat mengambil kira faktor keselamatan, boleh mendatangkan risiko tertentu, jadi sebenarnya berdasarkan pindaan kepada Akta Pertahanan Awam 1952, iaitu Akta 221 di bawah Seksyen 4C, APM sebenarnya mempunyai kuasa mewajibkan penduduk penduduk keluar, berpindah ke PPS.

“Maksudnya sejak tahun 2016, sudah ada peruntukan undang-undang yang memberi kuasa kepada APM untuk mewajibkan anggota masyarakat untuk berpindah dan tindakan boleh diambil sekiranya ada mana-mana pihak tidak mematuhi arahan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melawat PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan, Temerloh, hari ini.

Armizan bagaimanapun memaklumkan pihaknya tidak bercadang untuk mengambil tindakan tegas terhadap penduduk yang enggan berpindah.

Katanya, keutamaan buat masa ini adalah menyedarkan masyarakat supaya mereka tahu kewujudan peruntukan undang-undang itu dan memberikan kerjasama apabila diarahkan berpindah.

Sementara itu ditanya mengenai tahap kesiapsiagaan agensi berkaitan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini, Armizan berkata, kerajaan sentiasa mencari jalan menambahbaik persiapan dari semasa ke semasa.

“Sebagaimana yang difahamkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia bahawa MTL tahun ini yang bermula awal November hingga Mac tahun depan, kita akan mengalami dalam empat hingga enam luruan monsun dan ini baru kali pertama.

“Jadi, ramalannya mungkin keadaan lebih tidak terkawal susulan perubahan cuaca ekstrem dunia, namun kita pun tahu ini di luar kawalan kita,” katanya. – Malaysiapost

Komen