Bekas guru tuisyen didakwa gubah wang haram hasil jual bayi

Bekas guru tuisyen didakwa gubah wang haram hasil jual bayi

SEORANG bekas guru tuisyen didakwa di Mahkamah Sesyen Georgetown hari ini atas pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan penjualan bayi berjumlah RM12,000 pada Disember tahun lalu.

Menurut Astro Awani, tertuduh, Jamaliah Ahmad, 62, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim, Mazdi Abd Hamid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah menerima wang tunai berjumlah RM12,000 hasil aktiviti haram di lobi sebuah hotel di Jalan Penang kira-kira jam 7 malam pada 15 Disember tahun lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2021.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hariss Ong Jeffery Ong manakala tertuduh diwakili peguam Md Yusuf Md Idris.

Hakim Mazdi kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Selain itu, tertuduh juga tidak dibenarkan berjumpa atau mengganggu mana-mana saksi sepanjang kes berlangsung.

Kes akan disebut semula 13 Januari depan. – Malaysiapost

Komen