Jangan politik isu penamatan KPPA, hormati keputusan kerajaan – CUEPACS

Jangan politik isu penamatan KPPA, hormati keputusan kerajaan – CUEPACS

KEPUTUSAN kerajaan menamatkan perkhidmatan Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) berkuat kuasa semalam, perlu dihormati semua pihak.

Malah, Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat turut mengingatkan pihak luar supaya tidak menggunakan isu berkenaan sebagai modal politik yang boleh mengelirukan mana-mana pihak.

Menurutnya, keputusan itu dibuat bersandarkan hasil dapatan daripada jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan, dan semua pihak harus menghormatinya selain dijadikan sebagai pengajaran.

“Prinsip saling hormat-menghormati antara warga kerja tidak kira jawatan atau skim perkhidmatan harus dipupuk dalam perkhidmatan awam.

“Prinsip ini penting kerana suasana harmoni dan persekitaran kerja yang positif memberi kesan kepada mutu perkhidmatan yang cemerlang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan berkata, semua penjawat awam perlu menghormati antara satu sama lain kerana mereka mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi panduan bahawa mereka yang berada dalam Kerajaan Perpaduan harus menghormati proses kerjasama dengan penjawat awam dalam usaha pemulihan negara.

“Hubungan antara kakitangan tidak kira jawatan haruslah dijaga dengan baik kerana kerjasama yang kukuh akan diterjemahkan melalui kualiti perkhidmatan yang cemerlang,” katanya.

Dalam pada itu, Adnan berkata, CUEPACS mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Shafiq atas sumbangan dan jasa beliau sepanjang berkhidmat.

“CUEPACS menyeru semua pihak terutama warga perkhidmatan awam untuk terus bergerak ke hadapan dan tidak memanjangkan isu ini sehingga menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, mengesahkan perkhidmatan Mohd Shafiq sebagai KPPA ditamatkan berkuat kuasa semalam.

Menurutnya, penamatan itu selaras dengan peraturan 49(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993].

Beliau berkata, Mohd Shafiq dibersarakan mengikut subseksyen 10(5)(d) Akta Pencen 1980 [AKTA 227] yang membolehkan beliau menikmati semua faedah persaraan yang layak baginya. – Malaysiapost

Komen