KDN akan segerakan perolehan kamera badan untuk PDRM

KDN akan segerakan perolehan kamera badan untuk PDRM

PROSES perolehan kamera badan bagi kegunaan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan disegerakan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata beliau difahamkan peruntukan sebanyak RM20 juta sudah diluluskan bagi tujuan itu.

Beliau berkata, penggunaan kamera badan bagi tujuan penguatkuasaan adalah perlu buat masa ini dan bajet sesuai untuk tujuan itu juga sudah diperuntukkan.

“Saya difahamkan oleh Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri (KDN), bajet RM20 juta sudah diluluskan dan sekarang dalam proses perolehan.

“Harap tiada sebarang masalah (perolehan) dan kita akhirnya boleh dapat kamera badan berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan dan sesi taklimat bersama pengurusan kanan PDRM di Bukit Aman, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Annuar Nasarah dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Saifuddin berkata, keperluan dan bajet mesti disusuli dengan proses perolehan yang membabitkan beberapa kementerian khususnya Kementerian Kewangan dan KDN tiada kawalan terhadap aspek berkenaan.

“Saya difahamkan oleh KSU, mereka akan terus menyusul dengan tindakan susulan bagi memastikan ianya (perolehan) harus disegerakan

“Kita tiada kawalan terhadap aspek itu. Kita harap sebarang kerenah yang melambatkan akan dapat diatasi,” katanya. – Malaysiapost

Komen