KPPA ditamatkan perkhidmatan?

KPPA ditamatkan perkhidmatan?

KHIDMAT Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah dipercayai sudah ditamatkan berkuatkuasa semalam.

Berdasarkan surat yang tular di media sosial, perkhidmatan Mohd Syafiq ditamatkan mengikut Peraturan 49(3), Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib).

Surat yang ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali itu, menjelaskan kerajaan telah memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan KPPA yang juga Pegawai Tadbir dan Diplomatik Gred Utama Turus 1 (Memangku) demi kepentingan awam.

Mohd Syafiq turut dibersarakan mengikut perenggan 10(5)(D) Akta Pencen 1980 (Akta 227).

Surat berkenaan turut dimuat naik oleh veteran Umno, Rafi Awang Kechik di laman Facebooknya semalam yang berpendapat tindakan pemecatan itu sebagai petunjuk tegas daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“DS Anwar Ibrahim walaupun dilihat sebagai populis, namun tindakan beliau berasas.

“Jika sewaktu Pakatan Harapan (PH) memerintah di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad, ramai penjawat awam kontrak yang dibuang dengan alasan menjimatkan perbelanjaan negara tetapi tidak di bawah pentadbiran DS Anwar Ibrahim.

“Beliau tahu, untuk memantapkan perkhidmatan awam, ianya hendaklah dimulakan daripada pucuk kepimpinan. Jika Ketua Perkhidmatan Awam cemerlang, maka cemerlang lah seluruh pentadbiran awam,” katanya.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 6 Ogos lalu telah mengarahkan satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyiasat isu melibatkan Mohd Syafiq dengan seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen.

Dalam kejadian 3 Ogos lalu, Mohd Syafiq didakwa menengking dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). – Malaysiapost

Komen