Mohd Shafiq terkilan, mahu saman ‘pihak menganiayanya’

Mohd Shafiq terkilan, mahu saman ‘pihak menganiayanya’

BEKAS Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah bercadang mengambil tindakan undang-undang berhubung penamatan perkhidmatannya.

Menurut Mohd Shafiq, beliau terkilan dan tidak berpuas hati terhadap keputusan itu.

“Saya tidak berpuas hati dengan keputusan penamatan perkhidmatan saya dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam hal ini yang telah menganiayai saya meskipun saya telah menyumbang tenaga dan fikiran selama 30 tahun dalam perkhidmatan awam.

“Demi menjaga nama baik dan kepentingan anggota perkhidmatan awam, keputusan kerajaan ini akan diteliti secara mendalam, sekiranya sesuai dan perlu semakan perundangan akan dilakukan,” katanya lapor Berita Harian.

Bagaimanapun, beliau meminta semua penjawat awam terus berusaha bersama memartabatkan perkhidmatan awam ke tahap yang lebih dinamik demi kemajuan dan kesejahteraan negara tercinta.

“Saya tidak pernah mengancam kepentingan awam dalam perkhidmatan dan saya telah menjalankan tugas secara amanah dan tegas,” katanya.

Menurut Mohd Shafiq, beliau hanya menerima surat penamatan perkhidmatan itu, yang mula tersebar di media sosial semalam biarpun ia bertarikh 1 Disember lalu.

Katanya, beliau juga tidak diberikan notis munasabah berikutan tarikh berkuat kuasa penamatan perkhidmatan itu adalah pada hari sama beliau menerima surat berkenaan.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, mengesahkan perkhidmatan Mohd Shafiq sebagai KPPA ditamatkan berkuat kuasa semalam.

Menurutnya, penamatan itu selaras dengan peraturan 49(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993]. – Malaysiapost

Komen