Polis buru suspek kes cubaan rogol

Polis buru suspek kes cubaan rogol

POLIS kini giat memburu seorang lelaki yang dipercayai cuba merogol seorang wanita di kawasan laluan joging Taman Tasik Kubang Gajah, Temerloh, Pahang, pada 9 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusof, berkata dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, seorang wanita tempatan berusia 27 tahun mendakwa cuba dirogol oleh suspek yang memakai pelitup muka.

“Semasa mangsa selesai membuat senaman di laluan pejalan kaki belakang Taman Tasik Kubang Gajah, telah didatangi lelaki yang memakai pelitup muka dan cuba melakukan rogol ke atas mangsa.

“Mangsa berjaya melepaskan diri daripada suspek dan kemudian ke balai polis untuk membuat laporan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya hasil siasatan, polis berjaya menimbulkan lakaran gambar suspek yang dipercayai berusia awal 30-an, ketinggian kira-kira 170 sentimeter (cm) dan berkulit gelap.

“Lakaran gambar suspek turut dibuat hebahan kepada pihak umum bagi membantu siasatan polis.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 376/511 Kanun Keseksaan iaitu cubaan merogol,” katanya.

Mohd Azhar turut menasihati orang ramai supaya berhati-hati semasa menjalankan aktiviti riadah di kawasan sunyi seperti taman rekreasi, taman tasik dan sebagainya terutama pada waktu lewat petang atau malam.

“Orang ramai dinasihatkan juga supaya beriadah secara berkumpulan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berlaku.

“Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian agar menyalurkannya di talian 09-2716222 atau emel kpdtemerloh@rmp.gov.my dan mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Malaysiapost

Komen