Sah khidmat Mohd Syafiq ditamatkan

Sah khidmat Mohd Syafiq ditamatkan

KETUA Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, mengesahkan perkhidmatan Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) ditamatkan berkuat kuasa semalam.

Menurutnya, penamatan itu selaras dengan peraturan 49(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993].

Beliau berkata, Mohd Shafiq dibersarakan mengikut subseksyen 10(5)(d) Akta Pencen 1980 [AKTA 227] yang membolehkan beliau menikmati semua faedah persaraan yang layak baginya.

“Keputusan ini diambil setelah melalui semua prosedur bagi Penamatan Demi Kepentingan Awam (PDKA) dan telah diteliti keteraturannya oleh Jabatan Peguam Negara.

“Saya bagi pihak kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YBhg. Dato’ Sri Mohd Shafiq bin Abdullah atas jasa dan khidmat bakti beliau kepada negara sebagai penjawat awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu Mohd Zuki menyeru kepada semua penjawat awam untuk terus memberikan komitmen dan dedikasi dalam menjalankan tugas yang diamanahkan demi negara yang dicintai.

Terdahulu surat penamatan perkhidmatan Mohd Syafiq sebagai KPPA tular di media sosial sejak semalam.

Mohd Syafiq sebelum ini disiasat oleh jawatankuasa khas berhubung dakwaan menengking dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ogos lalu. – Malaysiapost

Komen