Senarai portfolio Exco Pahang diumumkan esok

Senarai portfolio Exco Pahang diumumkan esok

SENARAI portfolio bagi 10 Ahli Mesyuarat Kerajaan (Exco) Pahang yang baharu dilantik dalam Kerajaan Perpaduan akan diumumkan esok.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, mereka akan dipilih berdasarkan latar belakang dan kemampuan masing-masing.

“Saya percaya mereka boleh memikul tanggungjawab dan amanah diberikan untuk kebaikan negeri Pahang,” katanya hari ini.

Pada 2 Disember lalu, sepuluh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang, masing-masing membabitkan lapan ADUN Barisan Nasional (BN) dan dua daripada Pakatan Harapan (PH) mengangkat sumpah sebagai Exco negeri.

Antara ADUN yang dipilih sebagai Exco Pahang ialah anak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Mohd Nizar.

Mohd Nizar menang ketika bertanding di DUN Peramu Jaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Selain itu, dua ADUN Pakatan Harapan (PH) turut dilantik sebagai Exco melalui kerjasama Barisan Nasional (BN) dan PH di Pahang.

Mereka ialah ADUN Teruntum yang juga wakil PKR, Sim Chon Siang, dan ADUN Triang (DAP), Leong Yu Man.

Sim adalah ADUN Teruntum untuk penggal ketiga manakala Yu Man yang juga anak pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah Ngah, pula dipilih sebagai ADUN Triang sejak 2013.

Dalam pada itu, antara muka lama yang dikekalkan ialah ADUN Benta, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak; Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad (Kerdau) dan Datuk Seri Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (Bebar).

Muka baru BN disenaraikan dalam Exco kerajaan Pahang pula ialah ADUN Muadzam Shah, Razali Kassim; Datuk Mohd Johari Harun (Pelangai) dan Datuk Sabariah Saidan (Guai).

Mohd Johari dan Sabariah adalah ADUN penggal pertama.

Turut dilantik sebagai Exco ialah bekas Setiausaha Akhbar Menteri Besar Pahang, Mohd Fadzli Mohamad Kamal yang juga ADUN Dong.

Seorang bekas Exco digugurkan dalam senarai walaupun turut menang dalam PRU baru-baru ini iaitu ADUN Batu Talam, Datuk Abdul Aziz Mat Kiram. – Malaysiapost

Komen