Tong gas meletup, bakal pengantin melecur

Tong gas meletup, bakal pengantin melecur

SEORANG bakal pengantin melecur hampir seluruh badan apabila tong gas petroleum cecair (LPG) meletup di rumahnya di Taman Sena Permai, Pokok Sena, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, wanita berusia 26 tahun terbabit dikatakan mahu menggoreng ikan sebelum tong gas memasak dipercayai meletup dan mengakibatkan kerosakan teruk rumah teres dua tingkat berkenaan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tasek Gelugor, Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) Mohamad Hazam Hassan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada jam 8.13 pagi.

“Setiba di tempat kejadian, anggota mendapati seorang wanita mengalami kecederaan dan sudah dibawa keluar oleh jiran sebelum pasukan bomba sampai.

“Mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB), di sini, untuk menerima rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Difahamkan, mangsa bakal mendirikan rumah tangga pada Januari depan dan mendiami rumah terbabit bersama adik lelaki serta isterinya.

Mohamad Hazam memaklumkan, kejadian itu turut menyebabkan sebuah kereta dan motosikal yang diparkir di halaman rumah berkenaan mengalami kerosakan.

“Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Malaysiapost

Komen