Tuala wanita percuma di KKM untuk maklum balas segera

Tuala wanita percuma di KKM untuk maklum balas segera

INISIATIF pemberian tuala wanita secara percuma yang dimulakan di Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan (KKM) adalah bagi melihat aspek pengoperasian serta maklum balas segera.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, menjelaskan sekiranya berjaya, pemberian itu boleh diperluaskan ke fasiliti kesihatan yang strategik dan membabitkan orang awam.

“Saya mengambil maklum kekeliruan dan berterima kasih atas pandangan orang ramai berhubung kenyataan saya yang menyentuh pemberian tuala wanita secara percuma di Ibu Pejabat KKM.

“Inisiatif ini mungkin nampak kecil, tetapi boleh memberi impak yang besar untuk menangani isu kemiskinan haid, apatah lagi ia sangat bertepatan dengan kesihatan menstrual dan sistem reproduktif wanita,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Sebelum ini, Dr Zaliha mengumumkan KKM bakal memulakan inisiatif pemberian tuala wanita secara percuma bagi menangani isu kemiskinan haid di negara ini.

Sebagai permulaan, katanya, inisiatif itu akan mula dilaksanakan di Pejabat Menteri di Bangunan KKM dalam tempoh terdekat.

Langkah itu mendapat pelbagai reaksi termasuk yang mengkritik pelaksanaan program berkenaan. – Malaysiapost

Komen