Agong tolak terima gaji dari kerajaan sejak Covid-19 – PM

Agong tolak terima gaji dari kerajaan sejak Covid-19 – PM

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menolak sebarang bayaran gaji dari kerajaan persekutuan, sejak ekonomi negara terjejas akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata, keputusan Al-Sultan Abdullah itu menunjukkan Baginda sentiasa mengambil berat terhadap masalah kewangan negara.

“Saya juga nak sebut, bila kita kata kita laksanakan potongan gaji bagi menteri, dan penolakan gaji oleh Perdana Menteri, saya umumkan YDP Agong sebenarnya telah menolak gaji sejak Covid-19. Jadi, Tuanku lebih awal dari saya.

“Baginda tidak terima sebarang gaji dari kerajaan sejak Covid-19. Saya ingat elok kita berikan penjelasan ini, kerana itu sumbangan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong memandangkan masalah ekonomi sangat dekat dengan kehidupan rakyat,” katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet hari ini.

Dalam sidang media itu Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun, turut menyentuh mengenai beberapa perkara tertangguh, termasuk hasil penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji, serta status tentang tuntutan Pulau Batu Putih.

“Kita membincangkan tentang masalah terkait dengan apa yang berlaku di Tabung Haji dan juga cadangan untuk perbaiki pengurusannya.

“Kemudian, kita minta Peguam Negara (Tan Sri Idrus Harun), untuk memberi penjelasan tentang kontroversi tuntutan Pulau Batu Puteh yang sekarang telah dipindahkan ke Singapura oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), dan beberapa kesan sampingan.

“Kita juga akan minta diteliti semula supaya ada rundingan yang lebih bermakna segera dengan Singapura, supaya tidak ada apa-apa masalah berbangkit dari sudut hubungan dua negara sahabat ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen