Buaya tembaga naik ke jalan susulan hujan lebat

Buaya tembaga naik ke jalan susulan hujan lebat

BUAYA tembaga yang dirakam berada atas jalan Kampung Air Hitam, Kuantan, Pahang dan tular di media sosial sejak semalam dipercayai naik ke kawasan berkenaan susulan limpahan air akibat hujan lebat berterusan.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) menerusi hantaran di Facebook, memaklumkan kawasan berkenaan juga berhampiran habitat hidupan liar terbabit.

“Susulan menerima maklumat berkenaan video kehadiran seekor buaya di atas jalan Kg. Air Hitam, Kuantan, Pahang yang tular pada 13 Disember 2022, Jabatan Perhilitan Daerah Kuantan, Pahang telah menjalankan siasatan di lokasi kehadiran Buaya Tembaga (Crocodylus porosus) tersebut dirakam.

“Hasil siasatan mendapati hidupan liar terbabit telah naik ke lokasi rakaman yang telah dilimpahi air akibat hujan lebat yang berterusan.

“Lokasi rakaman juga berhampiran dengan Sungai Air Hitam yang bersambung ke Sungai Belat yang merupakan salah satu habitat semulajadi hidupan liar terbabit,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu Perhilitan juga memaklumkan telah mengesan satu lagi video tular di media sosial membabitkan seekor rusa yang dirakam tersesat di kawasan pinggir bandar Jerantut berdekatan Taman Koperasi.

“Jabatan Perhilitan Daerah Jerantut, Pahang telah menjalankan siasatan di lokasi terlibat hari yang sama video tersebut tular di platform media sosial pada 12 Disember 2022.

“Hasil siasatan mendapati rusa yang dirakam merupakan spesies Rusa Timur (Rusa timorensis) yang tidak termasuk dalam senarai hidupan liar yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [𝐴𝑘𝑡𝑎 716].

“Terdapat tiga tempat penternakan Rusa Timur di sekitar lokasi video rusa tersebut dirakam,” katanya. – Malaysiapost

Komen