Jangan jadi juara dengan kenyataan tak berasas, Adam Adli diingatkan

Jangan jadi juara dengan kenyataan tak berasas, Adam Adli diingatkan

TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim diingatkan supaya jangan sesekali hendak menjadi juara dengan melemparkan kenyataan-kenyataan yang tidak berasas dan kurang fakta.

Peringatan itu dibuat Kesatuan Olahraga Malaysia melalui Presidennya Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang menyifatkan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu sebagai orang baru dalam dunia sukan.

“Terlebih dahulu saya ingin memberitahu YB Timbalan Menteri Belia dan Sukan bahawa beliau adalah orang baru dalam dunia sukan.

“Jangan sekali-kali hendak menjadi juara dengan melemparkan kenyataan-kenyataan yang tidak berasas dan kurang fakta. Sila dapatkan maklumat lengkap bagaimanakah badan-badan sukan diuruskan oleh orang-orang yang dipilih,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau merujuk kenyataan dibuat Adam Adli baru-baru ini yang mendakwa bahawa badan sukan di negara ini dibelenggu oleh gejala rasuah.

Shahidan berkata, sebagai Timbalan Belia dan Sukan, Adam Adli harus mempertahankan sukan dan bukan keluarkan komen-komen untuk memburukkan nama baik sukan dan badan-badan sukan.

“Ini adalah kurang sihat dan tidak sesuai dikeluarkan oleh seorang Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

“Sila buktikan badan sukan mana yang terlibat dengan rasuah. Jika tidak kami akan mengambil tindakan terhadap dakwaan yang tidak berasas ini,” tegasnya. – Malaysiapost

Komen