“Jangan Muhyiddin musnah di tangan Hamzah sudahlah” – Mohd Puad

“Jangan Muhyiddin musnah di tangan Hamzah sudahlah” – Mohd Puad

PELANTIKAN Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang menimbulkan tanda tanya sama ada akan berlaku peralihan kuasa membabitkan pucuk pimpinan gabungan berkenaan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata tindakan itu juga menunjukkan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin seolah-olah tidak lagi berminat untuk menjadi Perdana Menteri.

“Apakah Muhyiddin sudah tidak berminat jadi Perdana Menteri. Apakah Hamzah ‘poster boy’ PN di Pilihan Raya Umum ke-16 dan seterusnya calon Perdana Menteri. Apakah ini peralihan kuasa?” soalnya sinis dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, berkata kebiasaannya Ketua Pembangkang adalah bakal Perdana Menteri.

“Mana mungkin Muhyiddin tidak mahu jadi Perdana Menteri lagi walaupun dia ada masalah umur dan kesihatan.

“Mungkin Muhyiddin tidak sanggup jadi ‘panglima perang’ di Parlimen. Dia pun ada beggage. Mungkin ada strategi lain. Hamzah bukan kecil anak. Dia pemusnah yang hebat,” katanya.

Mohd Puad dalam pada itu secara sinis turut mengingatkan tentang ‘kelicikan’ Ketua Pemangkang yang baharu itu.

“Lima tahun terlalu lama untuk Hamzah jadi Ketua Pembangkang. Macam macam dia boleh main. Jangan Muhyiddin musnah di tangan Hamzah sudahlah,” katanya.

Majlis Tertinggi PN pada 11 Disember lalu sebulat suara bersetuju melantik Hamzah sebagai Ketua Pembangkang, manakala Muhyiddin berperanan sebagai Ketua Ahli-Ahli Parlimen PN dan Tan Sri Abdul Hadi Awang menjadi Timbalannya.

Ketua Whip Pembangkang pula adalah Datuk Seri Takiyuddin Hassan bersama Timbalannya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Dalam kenyataan mengenai pelantikan itu, PN percaya ia dapat memperkukuh dan memperkasa peranan Ahli-Ahli Parlimen PN sebagai pihak pembangkang yang berwibawa dalam membawa suara serta kepentingan rakyat di Dewan Rakyat kali ini. – Malaysiapost

Komen