KDN harus pegang prinsip reformasi dan kaji semula SOSMA

KDN harus pegang prinsip reformasi dan kaji semula SOSMA

SUARA Rakyat Malaysia (SUARAM) menyuarakan kecewa dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Saifuddin Nasution yang tidak berniat menyemak semula Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2013 (SOSMA).

Pengarah Eksekutifnya, Sevan Doraisamy menyifatkan Setiausaha Agung PKR itu hanya memberi retorik lama untuk kewujudan undang-undang zalim tersebut.

Beliau mendakwa, kenyataan Menteri KDN itu juga bercanggah dengan pendirian Pakatan Harapan (PH) yang pernah menolak usul pelanjutan tempoh pelaksanaan subseksyen 4(5) SOSMA di Dewan Rakyat pada Mac dan Julai 2022 yang lalu.

Saifuddin turut diingatkan mengenai beberapa perkara yang harus diketahuinya mengenai SOSMA

“SOSMA masih membenarkan penahanan tanpa bicara iaitu penahan di bawah kuasa polis selama 28 hari tanpa melalui proses mahkamah atau campur tangan majistret.

“Orang Kena Tahan (OKT) dinafikan hak dan akses kepada peguam dan ahli keluarga pada 48 jam pertama dan selepas itu hak OKT masih bergantung kepada budi bicara pihak polis.

“Peruntukan tersebut juga meningkatkan risiko OKT diseksa dan membuat pengakuan paksa tanpa pengawasan daripada pihak mahkamah atau majistret,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sevan berkata, di bawah SOSMA, badan kehakiman tidak mempunyai kuasa budi bicara malah sebaliknya, pihak pendakwa raya yang memegang kuasa mutlak untuk menentukan sama ada seseorang itu diberikan peluang untuk diikat jamin atau tidak.

“Antara kes SOSMA yang dipantau SUARAM, terdapat individu yang ditahan melebihi lima tahun sehingga perbicaraan tamat dan dihukum.

“Dasar ‘tiada ikat jamin’ ini bukan sahaja melanggar hak tahanan untuk perbicaraan yang adil, tetapi seolah-olah individu tersebut telah diisytiharkan bersalah sebelum mahkamah,” katanya.

Menurutnya, SOSMA juga membenarkan ‘saksi yang dilindungi’ merahsiakan identiti mereka daripada tertuduh dan peguam bela semasa memberikan keterangan.

Katanya, hal itu menyukarkan tertuduh untuk mencabar kredibiliti saksi dan sukar untuk membuat pembelaan yang mencukupi bagi pertuduhan.

“Di bawah SOSMA, “apa-apa pernyataan oleh seseorang tertuduh sama ada secara lisan atau bertulis kepada mana-mana orang pada bila-bila masa” hendaklah boleh diterima sebagai keterangan, tanpa mengira ia adalah pengakuan paksa atau sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, Sevan turut menegaskan kenyataan Saifuddin mengenai peruntukan SOSMA adalah tidak tepat sedangkan ianya jelas melanggar prinsip perbicaraan yang adil di bawah Perlembagaan Malaysia dan piawaian antarabangsa.

“Kami memahami YB Datuk Seri Saifuddin merupakan menteri yang baru dilantik, malah memerlukan masa untuk mendengar taklimat dan memahami perkara-perkara berkaitan dengan Kementerian beliau.

“Namun, kami ingin menggesa agar beliau juga mendengar pandangan para pemegang taruh termasuk kumpulan masyarakat sivil sebelum memberi sebarang kesimpulan terutamanya dalam isu hak asasi manusia.

“Akhir sekali, kami menyeru agar kerajaan baharu yang ditubuhkan atas nama reformasi perlu mengambil langkah segera dalam penilaian semula dan kerja pemansuhan SOSMA serta undang-undang drakonian yang lain,” katanya. – Malaysiapost

Komen