“Tunggu Sabtu ini” – Zool Amali

“Tunggu Sabtu ini” – Zool Amali

KHABAR angin mengatakan Ketua Pemuda Umno Seremban, Zool Amali Hussin akan meninggalkan parti dan menyertai PAS kini semakin kuat tersebar.

Terbaru tular jemputan media sidang akhbar mengenai majlis penyerahan borang keahlian PAS oleh Zool Amali yang dikatakan pada Sabtu ini di perkarangan rumahnya.

Ketua Pemuda Umno Seremban itu yang sebelum ini dilihat sering mengkritik Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bagaiamanapun dilaporkan masih berdiam diri berhubung dakwaan akan menyertai PAS.

Memetik laporan Sinar Harian, beliau dikatakan meminta untuk menunggu sidang media yang akan diadakan pada Sabtu ini, jam 5 petang bertempat di rumahnya di Lenggeng.

“Belum ada sebarang pengumuman rasmi dan apa-apa sidang media pun termasuk penyerahan borang.

“Harap semuanya bertenang, tunggu saja Sabtu ini,” katanya pada Rabu.

Sebelum ini beliau telah berkongsi video di akaun TikToknya yang sedang mengisi borang tertera logo Pas dengan keterangan “Ayuh bersama saya! Hijrah itu 1 pengorbanan ‘Tsunami Jebat'”.

Pada 20 N0vember lalu, Zool Amali juga dilaporkan mendesak Ahmad Zahid meletakkan jawatan segera susulan prestasi buruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). – Malaysiapost

Komen