Wan Rosdy pegang 8 portfolio

Wan Rosdy pegang 8 portfolio

MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memegang lapan portfolio dalam pentadbiran kerajaan negeri yang diumumkan pagi tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai itu bertanggungjawab dalam portfolio perancangan, kewangan, tanah, sumber asli, tenaga dan air.

Selain itu, beliau turut memegang portfolio berkaitan pembangunan ekonomi, perladangan dan komoditi.

Anak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Mohd Nizar pula diberi tanggungjawab memegang portfolio pelaburan, perindustrian, sains, teknologi dan inovasi.

ADUN Benta, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak yang juga Exco kanan kerajaan Pahang memegang portfolio pertanian, industri asas tani, bioteknologi dan pendidikan.

Seorang lagi Exco kanan, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang juga Adun Kerdau memegang portfolio hal ehwal agama Islam, pembangunan luar bandar dan hal ehwal Orang Asli.

Manakala ADUN Bebar, Datuk Seri Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff pula diberi tanggungjawab memegang portfolio kerja raya, pengangkutan dan kesihatan.

Portfolio hal ehwal Felda, koperasi dan usahawan pula dipegang ADUN Muadzam Shah, Razali Kassim manakala ADUN Pelangai, Datuk Johari Harun memegang portfolio kerajaan tempatan, perumahan, alam sekitar dan teknologi hijau.

ADUN Guai Datuk Sabariah Saidan dan ADUN Dong Mohd Fadzli Mohamad Kamal yang masing-masing baru menjadi wakil rakyat untuk penggal pertama, turut tersenarai sebagai exco dalam barisan kerajaan Pahang.

Sabariah memegang portfolio kebajikan masyarakat, pembangunan wanita dan keluarga, manakala Mohd Fadzli memegang portfolio komunikasi dan multimedia, belia, sukan dan badan bukan kerajaan.

Dua ADUN Pakatan Harapan (PH) yang turut dilantik sebagai exco ialah ADUN Teruntum, Sim Choon Siang dan ADUN Triang, Leong Yu Man.

Choon Siang diamanahkan memegang portfolio hal ehwal pengguna dan sumber manusia, manakala Yu Man pula memegang portfolio perpaduan, pelancongan dan kebudayaan.

Sementara itu, Wan Rosdy dalam sidang media selepas pengumuman barisan Exco dan portfolio itu berharap semua pihak dapat mengetepikan sentimen politik dan perbezaan ideologi supaya dapat bekerja sebagai satu pasukan yang mantap.

“Saya harap semua agenda pembangunan negeri dan kebajikan rakyat dapat terus dilaksanakan dengan cemerlang.

“Laksanakanlah segala tugas yang diberikan dengan penuh rasa tanggungjawab dan amanah untuk menjadikan Pahang sebuah negeri maju dapat dicapai,” katanya.

Beliau turut meminta rakyat Pahang memberi peluang dan kepercayaan kepada kerajaan Pahang yang baru dibentuk ini demi kestabilan dan kemakmuran negeri.

“Sudah sampai masanya untuk kita membuka lembaran baharu ke arah politik matang serta meraikan perbezaan antara kita dalam suasana kepelbagaian kaum dan agama,” katanya. – Malaysiapost

Komen