Annuar tidak akan rayu keputusan dipecat Umno

Annuar tidak akan rayu keputusan dipecat Umno

BEKAS Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa menegaskan beliau tidak akan merayu keputusan parti itu melucutkan keahliannya minggu lalu.

Annuar yang juga bekas Ketua Umno Bahagian Ketereh mengesahkan beliau sudah menerima surat pemecatannya itu daripada Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, Isnin lalu.

Beliau berkata, namun surat terbabit hanya memaklumkan seksyen berkaitan pemecatan berkenaan tanpa menyatakan secara khusus sebab keputusan itu diambil terhadapnya.

“Saya telah buat keputusan saya tidak akan merayu. Kalau merayu ini kita kena tahu salah. Kemudian kita nilai betul kita salah atau tidak, kalau kita tak salah kita merayulah atas benda yang salah tetapi hingga hari ini saya tidak tahu, saya tidak ada pertuduhan.

“Tidak pernah panggil, tak pernah tanya, tak pernah soal, tak pernah minta penjelasan. Panggil secara sahabat pun tak ada. Sedangkan dalam MKT itu sahabat-sahabat saya. Tahu-tahu surat sekeping kena pecat, jadi saya nak merayu apa,” katanya.

Menurut Anwar, beliau sudah membalasnya dengan surat setebal lima muka surat dan 12 perenggan yang ditujukan terus kepada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan penjelasan berhubung perkara tersebut.

“Kalau tidak diberi penjelasan saya tidak tahu itu fitnah atau tidak pada saya ia kebenaran.

“Perkara-perkara itu terlalu amat sensitif, amat besar dalam perjalanan Umno dan kerajaan maka saya buat masa ini tidak berhasrat untuk berkongsi dengan sesiapa biar terhad kepada saya dan presiden Umno,” katanya.

Bagaimanapun, Annuar berkata, beliau tidak mempunyai perasaan marah dan dendam terhadap Ahmad Zahid.

“Cuma yang dapat saya bacakan sedikit daripada kandungan surat itu dalam para tujuh saya sebutkan, kita masing-masing ada kecintaan kepada parti, jika ada neraca yang boleh menyukat kecintaan ini nescaya kita boleh lihat cinta siapa lebih berat timbangannya.

“Jika ada cupak yang boleh menyukat banyaknya kasih saya kepada Umno berbanding kasih Yang Amat Berhormat (Ahmad Zahid) pasti kita akan tahu kasih dan setia yang lebih banyak kepada Umno malangnya Datuk Seri lah neraca, Datuk Seri lah cupaknya.

“Jadi YAB Datuk Seri telah menafikan kasih dan kesetiaan orang lain kepada Umno,” katanya.

Media sebelum ini, melaporkan Umno mengesahkan Annuar ialah antara tiga pemimpin akar umbi parti itu yang dipecat keahlian dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Khamis lalu. – Malaysiapost

Komen