Gagal selesai isu telur, bukti Anwar ‘tong kosong’ – Wan Saiful

Gagal selesai isu telur, bukti Anwar ‘tong kosong’ – Wan Saiful

KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘tong kosong’ kerana masih gagal menyelesaikan isu telur yang membelenggu rakyat ketika ini.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, selepas 22 hari menjadi Perdana Menteri, Anwar dilihat masih buntu untuk mengatasi masalah telur walaupun sebelum ini hebat mencanang propaganda untuk menyelesaikan pelbagai isu.

“Sudah 22 hari Anwar menjadi Perdana Menteri dan sudah enam hari saya meminta Anwar segera umumkan solusi untuk masalah telur dalam negara. Tapi Anwar masih ‘tong kosong’.

“Berpuluh tahun Anwar mendakwa dia ada penyelesaian segera untuk pelbagai masalah. Rupanya itu semua lakonan belaka.

“Masih Ingat janji 24 jam untuk turunkan harga minyak?Dah 22 kali 24 jam, itu pun ‘tong kosong’ rupanya,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Dalam pada itu, Wan Saiful turut mengingatkan Anwar bahawa rakyat sedang tertekan dan sedang menanti penyelesaian berhubung isu telur.

“Punya hebat propaganda, telur pun tak boleh uruskan? mampukah nak urus negara?

“Telur masih tiada di pasaran atau kalau ada sekalipun, harganya mahal. Rakyat termiskin amat merasai bebanan ini,” katanya.

Wan Saiful turut menyarankan Perdana Menteri dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu supaya meminta nasihat daripada Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang dilihat lebih berjaya menangani segera krisis bekalan dan harga ayam sebelum ini.

“Kalau PH-BN dah tak ada idea, kami PN ada ‘track record’ yang solid menjaga rakyat. Cubalah Datuk Seri, ‘call’ saja Datuk Ronald,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Wan Saiful turut menyelar cadangan kerajaan untuk mengimport bekalan telur daripada beberapa negara sumber.

Ini kerana katanya, Malaysia negara pengeksport telur kelima terbesar dunia berdasarkan data pada 2021.

“Tapi pelik apabila kita selaku negara pengeksport telur menghadapi kekurangan telur untuk rakyat sendiri.

“Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan pula umumkan bahawa Malaysia akan mengimport telur untuk stabilkan bekalan. Kita ni negara pengeksport. Mana logiknya nak import pula?,” soalnya.

Terdahulu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengumumkan langkah mengimport bekalan telur daripada beberapa negara sumber yang sudah dikenal pasti dengan segera.

Mohamad berkata, ia antara langkah jangka pendek yang diambil kementeriannya, selain akan memastikan telur ayam yang diterima itu selamat daripada penyakit dan menepati piawaian ditetapkan. – Malaysiapost

Komen