JAINJ berjaya gagalkan penganjuran pesta buih

JABATAN Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) berjaya menggagalkan penganjuran pesta buih yang bakal diadakan esok di sebuah hotel mewah di bandar raya Johor Bahru.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, pihak penguatkuasa JAINJ menghubungi penganjur program tersebut setelah menerima aduan mengenai awam susulan tular jemputan ke parti tertutup itu dalam media sosial.

“JAINJ menghubungi penganjur dan pemilik hotel mewah berkenaan dan mereka bersetuju membatalkan penganjuran pesta buih yang akan diadakan di kawasan kolam renang hotel mewah terbabit.

“JAINJ menyampaikan pandangan bahawa pesta buih itu tidak boleh dianjur dan diadakan di negeri ini berikutan ia melanggar Enakmen Jenayah Syariah Johor selain mengundang ketidakselesaan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas perhimpunan bulanan agensi Hal Ehwal Agama Islam Johor, di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru, hari ini.

Mohd Fares menegaskan, JAINJ tidak akan membenarkan penganjuran program berunsur kemaksiatan dilakukan di negeri ini yang bertentangan dengan ajaran Islam serta adat resam negeri ini.

Justeru, Mohd. Fared berkata, JAINJ akan menjalankan pemantauan di beberapa lokasi lain termasuk di hotel mewah tersebut bagi memastikan tidak ada program atau aktiviti yang mengundang kemaksiatan seperti pesta buih itu diadakan.

“Kita sudah memberi amaran dan akan menjalankan penguatkuasaan untuk bertindak jika penganjur atau mana-mana lokasi meneruskan pesta buih itu.

“Pencegahan terhadap program maksiat sebegini akan diteruskan sepanjang masa dan bukan dilakukan secara bermusim atau pada tarikh tertentu sahaja.

“Kerisauan kita adalah program yang melibatkan pergaulan bebas dan perlakuan tidak sopan seperti ini melibatkan orang Islam. Saya percaya semua orang termasuk yang bukan Islam pun tidak mahu melihat kegiatan bercampur bebas ini,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Fared berharap orang awam yang mempunyai sebarang maklumat atau ingin membuat aduan boleh terus menghubungi penguatkuasa JAINJ di talian yang dinyatakan di laman sesawang. -Malaysiapost

Komen