Jika parti politik, saya orang pertama halang Ummi Nazeera – Suami

Jika parti politik, saya orang pertama halang Ummi Nazeera – Suami

SELAGI bukan sebuah parti politik, saya tidak menghalang isteri saya menyertai Muafakat Nasional (MN), demikian kata Izzar.

Suami kepada pelakon wanita, Ummi Nazeera itu berkata, jika pertubuhan yang diasaskan Tan Sri Annuar Musa itu mempunyai matlamat dan kepentingan politik, dia akan menjadi orang pertama melarang isterinya terlibat sama.

Izzar atau nama sebenar Mohd Izzar Anwari Abdul Khani, 35, berkata, MN yang yang diketuai Annuar bukanlah untuk tujuan politik, sebaliknya sebuah badan amal membela masyarakat.

Justeru, menerusi hantaran di Instagram, Izzar berharap orang ramai terutama peminat tiada lagi terkeliru berkaitan perkembangan terbaharu isterinya itu.

“Saya mengambil maklum mengenai tularnya isu isteri saya menyertai Muafakat Nasional, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai salah seorang ahli.

“Pertubuhan Muafakat Nasional ini bukannya sebuah parti politik dan juga tidak merujuk kepada pakatan parti Umno dan PAS yang dibentuk pada tahun 2019,” katanya di Instagram, hari ini.

Dalam pada itu, suami kepada pelakon drama Rindu Kasih ini menjelaskan dia bersama isteri bersetuju menyertai pertubuhan berkenaan kerana misi dan visi yang mampu memberikan manfaat kepada rakyat.

Malah, Ummi atau nama sebenar Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin, 32, bersikap neutral dan tidak mahu namanya digunakan untuk tujuan politik.

“Setelah saya amati, pertubuhan MN ini berpegang kepada matlamat-matlamat yang mampu memberikan kebaikan kepada masyarakat.

“Isteri saya sedar dan amat menekankan bahawa sebagai seorang pempengaruh, dia perlu bersikap neutral dan tidak menggunakan platformnya untuk menunjukkan sokongan kepada mana-mana politk secara terang-terangan,” katanya.

Untuk rekod, MN turut disertai oleh beberapa rakan artis lain termasuklah Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Eizlan Yusof. -Malaysiapost

Komen