Kerajaan akan bertindak segera atasi permasalahan ekonomi – Anwar

Kerajaan akan bertindak segera atasi permasalahan ekonomi – Anwar

KERAJAAN akan melaksanakan pendekatan jangka pendek dan panjang dengan segera bagi mendepani pelbagai permasalahan yang membelenggu ekonomi negara ketika ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun keadaan ekonomi negara kembali menunjukkan perkembangan positif semenjak berakhirnya pandemik Covid-19, namun ekonomi negara terus menghadapi cabaran ketidaktentuan ekonomi dunia ketika ini.

“Saya dimaklumkan mengenai keadaan ekonomi negara yang kembali mengukuh pasca Covid-19.

“Namun, kerajaan mesti memikirkan cabaran semasa kepada ekonomi negara dengan mengambilkira risiko-risiko seperti pertumbuhan global yang lembab, konflik dan masalah geopolitik di peringkat antarabangsa yang terus memburuk serta gangguan kepada rantaian bekalan makanan.

“Kerajaan akan bertindak segera dengan pendekatan jangka pendek dan jangka panjang bagi mendepani permasalahan ini,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memaklumkan beliau bersama dua Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim telah mengunjungi Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini bagi mendengar taklimat mengenai prospek, tantangan serta tumpuan dasar ekonomi negara ketika ini.

Menjelaskan mengenainya, Anwar menegaskan, kerajaan sedang berusaha memastikan reformasi struktur ekonomi dilakukan bagi merancakkan lagi pertumbuhan asas-asas ekonomi.

“Usaha dan upaya saya adalah memastikan reformasi struktur ekonomi dijelmakan dengan teratur bagi merancakkan pertumbuhan serta memperkukuh asas-asas ekonomi negara.

“Menarik pelaburan yang berkualiti, peralihan kepada ekonomi rendah karbon, mempertingkat perlindungan sosial, memantapkan daya tahan fiskal menjadi antara pendekatan dan langkah yang diambil.

“InshaAllah, langkah-langkah ini dilaksanakan dengan dukungan BNM dan semua jabatan yang berkaitan,” katanya. -Malaysiapost

Komen