PAS Pahang kesal dilarang menggunakan dewan

PAS Pahang kesal dilarang menggunakan dewan

PAS Pahang kesal berhubung tindakan Kerajaan Pahang yang tidak membenarkan Perikatan Nasional (PN) menggunakan Dewan Tun Razak, Temerloh. 

Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan perangai lama Kerajaan Pahang dalam melayani pembangkang di negeri itu tidak pernah berubah. 

Menurutnya, dewan itu telah ditempah penggunaannya bagi mengadakan majlis kesyukuran dan meraikan petugas PN serta masyarakat awam di daerah itu, namun telah dibatalkan oleh kerajaan negeri. 

Jelasnya, tempahan dan kelulusan penggunaan fasiliti itu telah diberi sebelum ini dan sewa juga telah pun dibuat.

“PAS Pahang kesal dengan tindakan kerajaan negeri melalui PBT Temerloh yang membatalkan tempahan Dewan Tun Razak, Temerloh bagi mengadakan majlis kesyukuran dan meraikan petugas PRU serta masyarakat awam di Temerloh, hari ini.

“Perangai lama mereka ini tidak berubah sejak dahulu dan ia menambahkan kemarahan orang ramai,” katanya di Facebook. 

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Cheka berkata, dewan orang ramai sepatutnya dapat dimanfaatkan oleh orang ramai.

Tegasnya, penggunaan kemudahan awam sepatutnya tidak terhad kepada parti pemerintah sahaja.

“Dewan orang ramai sepatutnya dapat dimanfaatkan oleh orang ramai, sayangnya ia hanya boleh digunakan oleh parti pemerintah sahaja.

“Walaupun PRU lalu menyaksikan PN berjaya memenangi kerusi Parlimen Temerloh dan DUN Semantan dan Lancang,” katanya. -Malaysiapost

Komen