Pemilihan ketua negara, kerajaan tidak boleh dipandang remeh – Hadi

Pemilihan ketua negara, kerajaan tidak boleh dipandang remeh – Hadi

PESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan memberi kuasa politik Islam merupakan kewajipan yang paling besar untuk memelihara kedaulatan agama, tanah air dan umat.

Beliau berkata, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu menjadi ujian kepada umat Islam, apabila kalangan bukan Islam yang keluar mengundi mencecah sehingga 98 peratus.

Katanya, pengundi bukan Islam itu balik dari seluruh pelosok negara dan dunia dari jauh hanya kerana semata-mata mengundi untuk memenangkan DAP.

“Ia yang menjadi wadah mereka untuk mendapatkan kuasa politik berserta parti-parti di bawah ketiaknya dan calon-calon yang bersamanya.

“Adapun jumlah orang Islam yang keluar mengundi hanya 68 peratus kerana mereka menyangka ia tidak wajib dan tidak penting.

“Bahkan, ada yang mengerjakan umrah sunat dengan meninggalkan perkara yang wajib, walaupun perkara yang wajib itu hendaklah ditangguhkan kerana ia merupakan wajib muwassa‘ (yang boleh ditangguhkan),” katanya dalam tulisan Minda Presiden PAS, hari ini.

Abdul Hadi berkata, Allah SWT menetapkan wajibnya politik bagi menegakkan Islam itu berkuasa dan berdaulat.

Justeru, beliau berkata, ia menjadi suatu amanah besar kepada makhluk manusia sejak diciptakan alam semesta ini.

“Amanah terpenting ialah amanah memimpin negara yang mentadbir semua urusan kehidupan manusia di alam dunia yang menjadi ketetapan Allah SWT mengikut petunjuk-Nya.

“Khilafah itu ialah tugas memimpin negara atau mentadbir urusannya di atas muka bumi oleh pemimpin, imam atau raja. Khususnya, dalam urusan yang dinamakan siasah (politik) pemerintahan negara mengikut petunjuk Allah SWT,” katanya.

Jelas Abdul Hadi lagi, kewajipan yang ditetapkan kepada manusia sesuai dengan sifat kejadiannya yang mempunyai akal, roh, jasad dan bermasyarakat madani.

“Prinsipnya ialah beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat. Hukum al-Quran dan sunnah ialah hukum yang paling tinggi, serta adil kepada seluruh manusia yang bermasyarakat majmuk.

“Demikianlah betapa besar dan beratnya tugas memikul amanah dalam memilih kerajaan dan ketua negara yang tidak boleh dipandang remeh sewenang-wenangnya.

“Rasulullah SAW menolak tawaran untuk ditabalkan menjadi raja atau dilantik menjadi pemimpin tanpa mendaulatkan Islam yang berkuasa dan memerintah negara.

“Sehinggakan, mewajibkan hijrah dan baiah setelah datangnya penduduk Madinah yang memeluk Islam dan menegakkannya dalam sebuah negara yang ditubuhkan,” katanya.

Abdul Hadi menjelaskan, betapa besarnya kewajipan memimpin negara, sehingga Rasulullah SAW mendahulukan keutamaannya daripada menunaikan haji dan umrah.

“Hal ini berlaku apabila Baginda SAW menangguhkannya ketika perjanjian Hudaibiyyah, walaupun telah berihram dan terpaksa bertahalul untuk membuang pakaian ihram.

“Kemudiannya, pelaksanaan haji ditangguhkan sehingga selepas berlakunya Fathu Makkah.

“Para sahabat RA juga meninggalkan urusan pengebumian jenazah Rasulullah SAW kerana menghadiri perhimpunan untuk memilih seorang khalifah sebagai ketua negara,” katanya.

Dalam masa sama, Abdul Hadi mengucapkan syabas kepada pengundi muda yang telah menunaikan kewajipan pada PRU15 lalu. – Malaysiapost

Komen