PH belum muktamad kerjasama dengan BN hadapi PRN

PH belum muktamad kerjasama dengan BN hadapi PRN

PAKATAN Harapan (PH) belum memuktamadkan keputusan sama ada akan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) atau sebaliknya.

Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ia berikutan fokus gabungan itu ketika ini adalah untuk mewujudkan dan memperkasa keserasian bersama BN dalam menerajui Kerajaan Perpaduan.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan untuk membincangkan potensi kerjasama antara PH dan BN bagi tujuan demikian bergantung kepada kesesuaian serta keperluan bagi tujuan itu.

“Namun, tumpuan utama PH adalah untuk menggerakkan Kerajaan Persekutuan bagi mendepani pelbagai isu berbangkit yang membelenggu masyarakat.

“Ketika ini perbincangan belum sampai ke situ (kerjasama dengan BN bagi menghadapi enam PRN) sama ada akan wujud kerjasama, persefahaman atau gabungan politik. Itu belum kita bincangkan lagi.

“Fokus kita adalah mewujudkan keserasian Kerajaan Perpaduan. Dalam konteks ini supaya kerajaan berfungsi dan perlu dilihat kompak dan intact (utuh), barulah keyakinan rakyat akan dapat dibina,” katanya. – Malaysiapost

Komen