Sanusi kecewa DBP tidak hadir ke anugerah sastera di Kedah

Sanusi kecewa DBP tidak hadir ke anugerah sastera di Kedah

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kecewa terhadap tindakan wakil Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang didakwa tidak hadir ke Majlis Anugerah Sastera Darul Aman (ASDA) malam tadi atas dasar politik.

Muhammad Sanusi berkata, beliau difahamkan ketidakhadiran wakil tersebut ke majlis berkenaan atas alasan Kedah kini merupakan negeri pembangkang.

Katanya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan aspek politik tidak seharusnya dijadikan sebagai ‘sihir pemisah’ kepada pembangunan sastera dan seni tanah air.

“Sepatutnya majlis ini dianjurkan dengan kerjasama DBP. Jadi saya harap agensi-agensi kerajaan yang mengawal selia isu kesusasteraan, bahasa, seni dan memartabatkan budaya khususnya melalui penulisan tidak diheret ke dalam kancah politik.

“Tak bolehlah mereka amalkan sihir pemisah kerana politik dan sastera penulisan ini berada dalam ‘bakul’ berbeza. Tak boleh buat begini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan ASDA yang dihadiri para pengkarya dan sasterawan di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Dalam majlis itu, bekas Ketua Satu Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (Asasi), Osman Ayob diumumkan sebagai Sasterawan Negeri Kedah.

Ketiadaan wakil daripada DBP pada majlis itu menimbulkan tanda tanya ketika latar belakang pentas secara jelas memaparkan bahawa majlis berkenaan dianjurkan secara bersama oleh kerajaan negeri, DBP, Asasi dan MADA.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhammad Sanusi berkata, sastera dan seni adalah hak semua sekali gus merentasi kepentingan politik kepartian.

“Saya difahamkan ada orang tak mahu datang sebab program ini di Kedah, kerana partinya lain. Hangpa (kamu) ni gila kot?

“Sastera serta seni bukan ada parti politik. Kalau jadi begini, kita seolah-olah berjalan berundur ke belakang kerana politik sepatutnya semakin hari semakin matang dan perbezaan kita hanya dalam aspek itu (politik) saja, manakala perkara lain kita kena bersatu,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Dr Mohamad Saleeh Rahamad yang juga hadir sebagai ketua juri anugerah tersebut, turut menzahirkan kekecewaan dan kekesalan dalam ucapannya.

“Saya agak kecewa apabila ada pihak yang tiba-tiba menarik diri daripada turut sama memeriahkan majlis sangat penting dalam dunia persuratan ini. Bagaimana politik boleh menjadi sebab kepada ketiadaan satu pihak yang sangat penting sedangkan mereka mempunyai punca kuasa membangunkan persuratan di negara ini?

“Saya harap perkara ini tidak berlanjutan dan mengapa tidak kita sama-sama menghidupkan sastera ini? Pembangunan sastera itu abadi sifatnya sedangkan kerjaya dalam politik cuma sementara,” katanya. – Malaysiapost

Komen