‘Ubi’ Kuala Lumpur B12 takluk Indonesia

‘Ubi’ Kuala Lumpur B12 takluk Indonesia

AKADEMI Tunas Kuala Lumpur (ATKL) bawah 12 tahun (B12) mencipta sensasi di negara jiran, Indonesia apabila muncul juara kejohanan bola sepak BCT KBPP Polri International Tournament 2022.

Pertandingan disertai 15 pasukan terbaik berusia 12 tahun di seluruh Indonesia itu berlangsung dari 10 hingga 13 Disember di Denpasar, Bali, yang mana skuad ATKL hadir sebagai pasukan jemputan antarabangsa.

Ia dianjurkan bersama Pemerintah Bali dan Polis Republik Indonesia (POLRI).

Kejohanan itu sebelumnya dilangsungkan di serata daerah dan wilayah di Indonesia yang mana juara-juara mendapat slot ke pertandingan ‘grand final’ dengan penyertaan pasukan luar negara.

Skuad elit ATKL dibimbing ketua jurulatih, Nirubaan Jaganaath muncul juara kumpulan D dengan satu seri dan dua kemenangan, mengatasi Asti Kudus (Jawa Tengah), TP SSB Bali United (Bali) serta DCT Lampung (Sumatera).

Pada suku akhir, ATKL menang 2-1 ke atas akademi berpangkalan di Palu, Sulawesi Tengah, Persipal sebelum menang 6-5 ke atas Academy Digjaya, iaitu akademi bertaraf kebangsaan di Indonesia.

Dalam perlawanan akhir, ATKL yang menguasai keseluruhan perlawanan diikat tanpa jaringan ketika bertemu kelab tuan rumah, Garuda Bhayangkara FC sebelum menang menerusi sepakan penalti 3-2.

Lebih manis Nirubaan diumumkan jurulatih terbaik bagi kategori B12 manakala penjaga gol ATKL, Wan Faysal Ashraf Wan Faizal Anuar dinobat penjaga gol terbaik.

Turut menyertai kejohanan ini ialah kelab dari Bandung, Jakarta, Jogjakarta serta Kalimantan Timur.

Barisan pemain ATKL bergambar bersama jurulatih di vanue pertandingan di Bali.

Untuk rekod, ATKL diterajui Ketua Jurulatih Remaja Negeri (KJRN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang juga bekas pemain kebangsaan, Ghani Malik di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Pasukan ini menghimpunkan pemain elit dari tiga Akademi Tunas (AT) di Kuala Lumpur iaitu AT Sentul, AT Bandar Tun Razak serta AT Wangsa Maju.

Antara pencapaian pasukan ini adalah juara NFDP Series Melaka Open, juara Milo Champions League B12 serta Milo Cup B12, juara Liga Separimau Musim C (Lembah Klang) serta juara Grand Final NFDP Series di Setia Alam, awal bulan ini. – Malaysiapost

Komen