Yasin ucap tahniah pada Anwar, mohon kaji undang-undang lapuk

Yasin ucap tahniah pada Anwar, mohon kaji undang-undang lapuk

SAYA ucapkan tahniah kepada Perdana Menteri yang ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Itulah ayat pertama yang terpacul daripada mulut penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman ketika ditemui media selepas sebutan kes berhubung representasi tiga pertuduhan dadah yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor, hari ini.

Yasin berkata, dia mengambil semangat Perdana Menteri yang disifatkannya telah mengharungi perjuangan yang lebih berliku dan teruk berbanding dirinya ketika ini.

“Dengan kuasa Allah akhirnya dia telah dilantik untuk jadi perdana menteri. Begitu juga saya mengharapkan agar ada keadilan sewajarnya,” katanya.

Pada masa sama penyanyi lagu Mimpi Laila ini turut berharap Anwar dapat menambah baik undang-undang lapuk terutama kes berkaitan dadah.

“Saya berharap agar Perdana Menteri kita dapat betulkan undang-undang arkib, undang-undang lapuk yang tidak menetapi perkembangan, pengetahuan dan peradaban.

“Itu telah masuk dalam kes 39B yang beliau pernah hadapi dulu mengenai kes arkib ni jadi saya harap dia faham,” katanya.

Terdahulu, dalam prosiding hari ini, mahkamah menangguhkan keputusan representasi bagi tiga pertuduhan dadah yang dihadapi Yasin pada 11 Januari tahun depan.

Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad menetapkan tarikh baharu itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan masih menunggu keputusan ketiga-tiga representasi berkenaan.

Peguam bela Yasin, Ariff Azami Hussein berkata pihaknya dimaklumkan bahawa pihak pendakwaan masih memerlukan sedikit masa untuk mempertimbangkan representasi itu yang difailkan 23 September lalu.

“Hari ini ditetapkan untuk keputusan representasi, namun kami dihubungi oleh pendakwaan bahawa mereka memerlukan sedikit masa.

“Tiada masalah untuk keputusan representasi dalam tempoh singkat, dalam tiga minggu ini,” katanya.

Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 47, bernasib baik apabila tidak berdepan dengan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis Kanabis seberat 214 gram.

Pada 6 Julai lalu, pihak pendakwaan memaklumkan bahawa pertuduhan mengedar ditarik dan Yasin dituduh dengan pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram.

Mengikut pertuduhan baharu itu, Yasin didapati dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara, pukul 5.30 petang pada 24 Mac lalu.

Yasin yang mengaku tidak bersalah didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan. -Malaysiapost

Komen