Zahid turun padang ke kawasan banjir di Kelantan

Zahid turun padang ke kawasan banjir di Kelantan

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turun padang ke Kelantan hari ini bagi meninjau situasi bencana banjir di negeri itu.

Menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Zahid berkata, beliau telah meninjau persiapan agensi-agensi kerajaan dalam menghadapi bencana banjir di Pasir Mas dan Rantau Panjang.

“Susulan mesyuarat Penyelarasan Bencana tempohari, saya hari ini bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Wilson Ugak Kumbong turun ke Pasir Mas dan Rantau Panjang bagi meninjau keadaan, persiapan agensi kerajaan dalam menghadapi situasi banjir yang melanda sesetengah tempat di Kelantan.

“Selain langkah persiapan dan kesiapsiagaan yang giat dijalankan, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah diaktifkan berdasarkan amaran awal bencana banjir yang dilaporkan oleh MetMalaysia,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid memaklumkan pembelian enam unit pam air berkuasa tinggi untuk mengatasi masalah banjir termenung.

“Langkah tambahan seperti proses pembelian enam unit pam air berkuasa tinggi untuk mengalihkan air banjir, khususnya di lokasi banjir termenung akan dilakukan segera bagi memastikan keadaan banjir lebih terkawal.

“Saya juga telah arahkan untuk projek pembinaan tebatan banjir Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) disegerakan dan tidak tertangguh bagi memastikan keadaan limpahan banjir tidak berlarutan serta berpanjangan,” katanya.

Ahmad Zahid turut menegaskan peranan semua pihak untuk bersama-sama membantu rakyat yang terkesan akibat banjir.

“Selain langkah-langkah ini, saya juga mahukan peranan NGO-NGO diselaraskan dengan agensi pusat seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kerajaan Negeri dan Daerah supaya koordinasi secara holistik dapat dilakukan bagi membantu rakyat yang terkesan banjir,” katanya.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob turut bersama Timbalan Perdana Menteri menziarahi penduduk yang terkesan banjir di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Periok dan PPS SK Tok Deh, Rantau Panjang. – Malaysiapost

Komen