Aktiviti perkhemahan di Batang Kali diarah henti serta-merta

Aktiviti perkhemahan di Batang Kali diarah henti serta-merta

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution mengarahkan semua aktiviti perkhemahan di kawasan Batang Kali, Selangor, dihentikan serta merta.

Saifuddin berkata, beliau sudah memaklumkan kepada Ketua Polis Daerah (KPD) Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah untuk menghentikan segala aktiviti perkhemahan.

“Kita sudah minta KPD untuk segera keluarkan arahan baru untuk mana-mana pemilik tapak perkhemahan supaya tidak menerima pengunjung perkhemahan sehingga satu masa diberitahu kelak.

“Saya dimaklumkan trend aktiviti perkhemahan ini sangat popular selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berdasarkan perjumpaan dengan pengedar barang-barang perkhemahan, sehinggakan pembelian alat perkhemahan meningkat 40 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat lokasi kejadian, hari ini.

Saifuddin berkata, bagi mengelakkan sebarang kejadian sama berulang, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mencadangkan untuk menangguhkan dulu aktiviti perkhemahan di kawasan ini.

“Susulan kejadian ini juga, saya meminta mana-mana pihak untuk memberi tumpuan terhadap sebarang laporan Orang Hilang yang kemungkinan ada kaitan dengan mangsa kejadian ini,” katanya. – Malaysiapost

Foto Kredit: Bernama

Komen