Bayi masih bernafas ditemui dalam timbusan tanah

Bayi masih bernafas ditemui dalam timbusan tanah

BERPANTANG ajal sebelum maut, itulah yang dapat digambarkan kepada seorang bayi yang tertimbus di dalam runtuhan tanah di Father’s Organic Farm, dekat Batang Kali hari ini.

Menceritakan kisah ajaib itu, seorang lelaki yang enggan namanya disiarkan memberitahu, bayi itu telah tertimbus di dalam tanah beberapa minit selepas kejadian tanah runtuh itu berlaku di kawasan berkenaan.

Lelaki berusia 30 tahun itu berkata, kejadian tanah runtuh itu berlaku agak jauh dari tapak perkhemahan dia dan keluarganya mendirikan khemah, sekali gus terselamat daripada menjadi mangsa bencana berkenaan.

Menurutnya, selepas mendapati kedudukan isteri dan dua orang anaknya selamat, dia bergegas menghulurkan bantuan untuk menyelamatkan mangsa-mangsa yang tertimbus di dalam runtuhan tanah itu.

Jelasnya, dia telah mengorek tanah di kawasan runtuhan itu dan mujur menemui seorang wanita yang masih bernyawa.

“Tengok berapa lama kita boleh, kita korek tanah, korek tanah sampai kita nampak kepala wanita, kita pun tak tahu dia siapa.

“Nampak wanita itu boleh bernafas, wanita itu kata jangan selamatkan saya, selamatkan bayi saya.

“Kita pun korek sebelah kawasan tu, kita korek selepas itu ternampak seorang bayi, saya dan kawan saya kemudian tarik keluar bayi itu. Nasib baik dapat selamat, ibu dia pun turut serta korek tanah,” katanya dipetik Astro Awani.

Terdahulu media melaporkan, seramai 51 individu dewasa dan 30 kanak-kanak mendaftar untuk bermalam di tapak perkhemahan tersebut.

Perkembangan setakat pukul 4 petang ini, 16 mangsa ditemui maut dalam kejadian yang berlaku awal pagi tadi. -Malaysiapost

Komen